Thursday, 8 December 2011

TANGGUNG JAWAB SEORANG ANAK

Redha Allah adalah terletak pada redha ibu bapa kita. Kalau ibu bapa kita marah atau kecil hati dengan kita, maka jawabnya susah lah hidup kita. Bukan hanya di dunia jer tak selamat (tiada keberkatan), malah lebih teruk nasib kita di akhirat nanti.
Jadi, saya menyeru kepada anda semua agar taati dan jaga lah kedua ibu bapa anda sebaik mungkin. Sementara mereka masih hidup ini, cubalah berbakti kepada mereka seberapa banyak yang boleh.
Sebenarnya banyak bakti yang boleh dilakukan kepada ibu bapa. Bakti itu bukan sahaja berbentuk material semata-mata malah, ianya merangkumi elemen spiritual dan hubungan kasih sayang yang perlu ditunjukkan oleh setiap insan bernama ANAK. Apatah lagi jika ibu bapa anda semakin uzur dan memerlukan lebih perhatian.

Berikut ini saya kongsikan 10 bakti @ kebaikan yang boleh anda lakukan untuk ibu bapa anda:

  • (1.) Menghulurkan bantuan kewangan @ material
Ada ibu bapa yang berdepan dengan masalah kewangan. Mereka tidak dapat lagi melakukan tugas seharian disebabkan faktor usia. Jika bekerja, tetapi tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan keluarga yang semakin meningkat.
Justeru menjadi tanggungjawab anak memberi nafkah atau bantuan kewangan kepada ibu bapa. Sumbangan itu tidak seberapa berbanding yang dibelanjakan ibu bapa untuk membesar dan mendidik anak.
  • (2.) Menyediakan tempat tinggal
Dalam kes ibu bapa yang hilang tempat tinggal atau tidak sesuai untuk didiami, menjadi tanggungjawab anak menyediakan tempat tinggal lebih sesuai kepada ibu bapa.
Paling baik jika ibu bapa dibawa tinggal bersama agar dapat menjamin keselamatan dan keperluan harian mereka diuruskan dengan baik.
  • (3.) Memberi kasih sayang
Kasih sayang adalah sebagai membalas kasih sayang yang selama ini dicurahkan ibu bapa. Jadi, seharusnya kasih sayang itu dibalas sebaik-baiknya.
Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang ibu bapa. Anak soleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa mereka diberkati dan dicucuri rahmat.
Firman Allah bermaksud:
Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil. (Surah al-Isra, ayat 24)
  • (4.) Memberi perhatian
Ibu bapa yang diabaikan akan kesunyian. Mereka terasa disisih dan dan seperti tidak dipedulikan. Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan. Keadaan ini jika berterusan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.
Ramai ibu bapa yang disisihkan dan dihantar ke rumah penjagaan orang tua. Sukar diterima akal anak mendakwa tidak mampu menjaga ibu bapa, sedangkan mereka mampu menjaga dan membesarkan beberapa anak.
  • (5.) Memenuhi permintaan
Ibu bapa sering memerlukan bantuan anak untuk melaksanakan sesuatu keperluan. Permintaan itu mungkin dalam bentuk kewangan, tenaga dan masa.
Memenuhi permintaan ibu bapa perlu diutamakan berbanding melakukan tugas lain. Sesungguhnya, memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat, berpuasa sunat dan seumpamanya..
Malah, keutamaan berbakti kepada ibu bapa lebih utama daripada berjihad di medan perang. Diriwayatkan daripada Bukhri dan Muslim, Ibnu Umar berkata:
Saya telah bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: Apakah perbuatan disukai oleh Allah? Lalu Baginda bersabda: Sembahyang pada waktunya. Kemudian apa?, tanya saya lagi. Baginda menjawab: Berbakti kepada kedua ibu bapa. Saya bertanya: Apa lagi? Jawab Baginda: Berjihad pada jalan Allah.
  • (6.) Melakukan apa yang disukai
Ibu bapa tentu mengharapkan anaknya melakukan sesuatu yang baik pada pandangan mereka. Melakukan perkara yang tidak sukai ibu bapa bermakna melakukan perbuatan derhaka..
Anak derhaka kepada ibu bapa tidak mendapat keberkatan dalam kehidupannya. Sesiapa derhaka kepada ibu bapa disegerakan balasan di dunia dan tidak terlepas di akhirat.
Sabda Rasulullah bermaksud ;
Dua kejahatan yang disegerakan balasan di dunia ialah zina dan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Dalam hadis lain diriwayatkan al-Hakam bermaksud:
Semua dosa akan ditangguhkan Allah, yakni balasan menurut kehendak-Nya hingga ke hari kiamat, kecuali balasan menderhaka kepada kedua-dua ibu bapa. Maka, sesungguhnya Allah menyegerakan balasan kepada pelakunya pada masa hidupnya sebelum mati.
  • (7.) Bercakap dengan lemah lembut
Satu cara menjaga perasaan ibu bapa adalah bercakap lemah lembut dengan mereka. Suara hendak direndahkan dan jangan membantah permintaan mereka..
Firman Allah bermaksud:
Tuhanmu telah memerintahkan, supaya kamu tidak menyembah selain Allah, dan hendaklah berbuat santun terhadap kedua-dua orang tua. Jika salah seorang telah lanjut usianya atau kedua-duanya telah tua, janganlah sekali-kali engkau berani berkata terhadap mereka dan janganlah engkau suka menggertak mereka. Tetapi, berkatalah dengan sopan santun dan lemah lembut. (Surah al-Israk, ayat 23).
Sesungguhnya, anak ditegah membantah kata-kata ibu bapa dengan suara tinggi atau bermaksud merendahkan kedudukan ibu bapa. Lebih baik berdiam diri daripada berkata-kata yang mungkin menyinggung perasaan ibu bapa. Kemudian jika ada kesempatan, gunakan cara yang lembut untuk menjelaskan keadaan sebenar.
  • (8.) Menghadiahkan kejayaan
Jadi, jika memperoleh kejayaan dalam pelajaran, mendapat pekerjaan, dinaikkan pangkat dan seumpamanya, seharusnya dimaklumkan kepada ibu bapa. Ibu bapa dibawa bersama-sama dalam majlis untuk meraikan kejayaan itu..
  • (9.) Meluangkan masa bersama-sama
Anak yang tinggal berasingan dengan ibu bapa perlu kerap meluangkan masa mengunjungi mereka. Ibu bapa berasa senang menerima kunjungan dan menatap wajah anaknya.
  • (10.) Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa
Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya. Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan walaupun mereka meninggal dunia.
Sabda Rasulullah bermaksud:
Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak yang soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya. (Hadis riwayat Muslim).
Kebaikan dilakukan anak terhadap ibu bapa sebenarnya amat kecil. Anak tidak mampu untuk membalas jasa ibu bapa sepenuhnya biarpun dia berbakti sepanjang hayatnya..
Gunakan kesempatan yang ada untuk melakukan bakti terhadap ibu bapa sebaik mungkin. Masa untuk anak berbakti kepada ibu bapa sebenarnya semakin suntuk. Lambat laun ibu bapa akan meninggal dunia. Bertindaklah sebelum terlambat, selagi ibu bapa atau salah seorangnya masih hidup. Jangan jadi macam saya, dah meninggal baru nak menyesal. :(

Redha Allah & Redha Ibu Bapa

Pertama: Keredhaan Allah Terletak Pada Keredhaan Ibubapa.

Rasullullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa.[1]


Hadis ini membenarkan apa yang disebut sebelum ini, bahawa hubungan seorang anak dengan ibubapanya memiliki kaitan dengan hubungannya kepada Allah. Jika seorang anak berbuat baik kepada kedua ibubapanya sehingga mereka redha kepadanya, maka Allah juga redha kepada anak tersebut. Akan tetapi jika seorang anak tidak berbuat baik sehingga menimbulkan kemurkaan ibubapanya, maka Allah juga murka kepadanya.

Walaubagaimanapun hendaklah diperhatikan bahawa apa yang meredhakan ibubapa tidak mengakibatkan kemurkaan Allah. Maksud saya, jangan melakukan sesuatu yang merupakan maksiat kepada Allah dalam rangka berbuat baik kepada ibubapa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam mengingatkan:

Menjadi kewajipan seorang muslim untuk mendengar dan taat dalam perkara yang disukai mahupun yang dibenci selagi mana ia tidak melibatkan maksiat. Maka jika disuruh untuk melakukan maksiat maka tidak perlu mendengar dan tidak perlu mentaatinya.[2]


Di samping tidak boleh berbuat baik kepada ibubapa dalam hal-hal yang merupakan maksiat kepada Allah, kita juga tidak boleh berbuat baik kepada ibubapa dalam hal-hal yang merupakan maksiat kepada Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam. Baginda berpesan:

Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah aku lebih dicintainya berbanding ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya.[3]


Cinta kepada Rasulullah, sebagaimana yang dimaksudkan oleh hadis di atas, bukanlah sekadar perasaan di hati tetapi adalah dengan pembuktian praktikal, seperti mentaati perintah larangan baginda, mengikuti sunnahnya dan membenci bid‘ah yang merosak dan mencemari sunnah tersebut.

Oleh itu tuntutan berbuat baik kepada ibubapa haruslah selari dengan petunjuk al-Qur’an dan al-Sunnah, iaitu syari‘at Islam. Justeru seandainya ibubapa menyuruh kita membelikan mereka minuman keras atau membantunya membuat acara kemungkaran seperti pesta (party) di rumah, kita tidak perlu mentaatinya. Jika kita mendapati ibubapa cenderung kepada sesuatu yang menyelisihi syari‘at Islam, hendaklah:
  1. Terlebih dahulu memastikan bahawa ia benar-benar menyelisihi syari‘at Islam. Jika perkara tersebut merupakan sesuatu yang diperbincangkan oleh para ilmuan, maka hendaklah kita mengambil sikap berlapang dada. Oleh itu, sebagai contoh, jika kita cenderung kepada hukum larangan mendengar muzik manakala ayah pula gemar mendengar lagu-lagu klasik, maka hendaklah kita bersikap lapang dada. Biarkanlah ayah mendengar lagu-lagu kegemarannya.[4]
  2. Jika dipastikan bahawa ia benar-benar menyelisihi syari‘at Islam, maka janganlah ditegur secara kasar dan mendadak. Sebaliknya maafkanlah mereka, pohonkan keampunan Allah kepada mereka[5], kemudian berbincanglah secara hikmah dan lemah lembut. Kemudian jangan diharapkan perubahan secara serta merta, sebaliknya bertawakkallah kepada Allah agar pada satu masa nanti, secara bertahap-tahap, mereka akan berubah. Ikutilah sunnah Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam dalam perkara ini, iaitu sebagaimana firman Allah:
Maka dengan sebab rahmat (yang melimpah-limpah) dari Allah (kepadamu wahai Muhammad), engkau telah bersikap lemah-lembut kepada mereka (sahabat-sahabat dan pengikutmu), dan kalaulah engkau bersikap kasar lagi keras hati, tentulah mereka lari dari kelilingmu. Oleh itu maafkanlah mereka danpohonkanlah ampun bagi mereka, dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Kemudian apabila engkau telah berazam (sesudah bermesyuarat) maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya. [Ali Imran 3:159]


Berdasarkan hadis-hadis yang dikemukakan di atas, dapat dirumuskan bahawa sebelum seseorang itu membuat apa-apa keputusan, hendaklah diperhatikan bahawa keputusan tersebut menepati dua syarat berikut:
  1. Ia selari dengan syari‘at Islam.
  2. Ia diredhai oleh ibubapanya.

Seandainya wujud pertentangan antara dua syarat tersebut, hendaklah dicari jalan untuk menghilangkan pertentangan tersebut. Ini akan dijelaskan seterusnya dalam buku ini.

Pengajaran lain yang tidak kurang pentingnya daripada hadis di atas, yakni sabda Rasulullah yang bermaksud:Keredhaan Allah terletak pada keredhaan ibubapa manakala kemurkaan Allah terletak pada kemurkaan ibubapa”, ialah jika kita mengalami kehidupan yang sempit lagi serba tak menjadi, hendaklah diperhatikan hubungan kita dengan ibubapa. Ini kerana seorang anak yang berada di bawah keredhaan ibubapanya, kehidupannya akan menjadi lapang lagi mudah hasil daripada keredhaan Allah Subhanahu wa Ta‘ala kepadanyaSebaliknya seorang anak yang berada di bawah kemurkaan ibubapanya, kehidupannya akan menjadi sempit dan serba tak menjadi, disebabkan kemurkaan Allah kepadanya.